NASIONAL

Dua lelaki direman buat tuntutan palsu baik pulih sungai

IPOH, 19 Jun : Dua individu direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu untuk kerja-kerja membaik pulih sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Perak Tengah tahun lepas.

Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar penolong jurutera berusia 58 tahun dan kontraktor berumur 57 tahun direman sehingga Isnin depan.

Mereka direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 18(A) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menahan kedua-dua individu itu bersama dua lagi iaitu seorang pegawai kanan JPS berusia 47 tahun dan seorang penolong jurutera berusia 49 tahun pada pukul 7.20 malam di Pejabat SPRM Perak di Meru di sini.

Bagaimanapun, dua lagi individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Mereka disyaki terlibat dengan tuntutan mengandungi maklumat palsu tahun lepas bagi kerja-kerja membaik pulih sungai oleh JPS Daerah Perak Tengah dengan sebut harga hampir RM720,000, namun tiada sebarang kerja membaik pulih dilaksanakan di tapak tebing sungai sehingga hari ini.

Mereka disyaki berpakat dengan kontraktor yang dikatakan kroni kepada pegawai dan kakitangan JPS Perak yang telah menerima bayaran penuh. -BERNAMA


Pengarang :