SELANGOR

DUN Kota Kemuning komited promosi kempen ‘Sayangi Sawitku’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 23 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning akan terus memperhebatkan usaha mempromosi kempen ‘Sayangi Sawitku’ selaras memenuhi aspirasi kerajaan dalam memupuk semangat kecintaan dan kebanggaan ke atas minyak sawit negara.

Ahli Dewan Negerinya, V Ganabatirau berkata, pihaknya menggalakkan penggunaan produk sawit dalam kehidupan seharian penduduk, khususnya di kawasan DUN berkenaan.

“Kombinasi kaum yang baik wujud di kawasan ini memberi peluang kepada kita untuk memperkenal kempen ‘Sayangi Sawitku’ seterusnya menggerakkan pelbagai bentuk program kepada orang ramai secara berterusan.

“Mereka menunjukkan satu contoh terbaik kepada pihak luar bagaimana penyatuan kami di sini yang sememangnya hidup dengan cara tradisi rakyat Malaysia dan penuh semangat muhibah, terutama dalam mempertahankan sawit,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jom Masak Sempena Kempen Sayangi Sawitku di Gelanggang Bola Keranjang Taman Tasik Kota Kemuning, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Industri Utama merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pada masa sama, Ganabatirau yang juga EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin berkata, masyarakat seharusnya didedahkan berhubung kepentingan minyak sawit memandangkan industri berkenaan menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Katanya, pendedahan maklumat yang betul perlu disalurkan supaya sedikit sebanyak dapat mencungkil minda penduduk yang masih bersikap anti minyak sawit.

“Kebanyakan golongan kelas pertengahan yang tidak pernah menggunakan minyak sawit merasakan kualiti produk berkenaan adalah rendah, oleh sebab itu mereka hanya mahu menggunakan minyak lain yang lebih popular.

“Justeru, melalui kempen dijalankan ini diharap dapat memberi penjelasan mengenai cara penapisan dan penurasan minyak sawit dibuat seterusnya meningkatkan kepentingan menggunakannya,” katanya.

Terdahulu, program julung kali anjuran DUN Kota Kemuning dengan kerjasama Kementerian Industri Utama menyajikan beberapa aktiviti menarik antaranya pertandingan memasak, permainan untuk kanak-kanak, jualan kendera saji dan cenderahati kepada 500 peserta terawal.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :