Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith. Foto BERNAMA
NASIONAL

ECRL akan beri tempias kepada daerah Kuala Pilah

KUALA PILAH, 23 JUN: Anggota Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith optimis daerah itu akan turut menerima tempias daripada pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jelebu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, meskipun projek itu dilaksanakan di Jelebu, namun ia mampu memberi impak kepada ekonomi negeri secara keseluruhannya dan sekali gus Kuala Pilah yang berhampiran dengan ibu negeri iaitu Seremban, turut akan beroleh manfaat daripada projek mega itu.

“ECRL walaupun kita (daerah Kuala Pilah) tidak terlibat secara langsung sebab laluan terhampir (ialah) di Jelebu. Bagaimanapun, apa juga yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi bandar seperti Seremban sedikit sebanyak akan beri impak kepada bandar berhampiran.

“Ini termasuklah Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan sudah tentu kita akan dapat menerima limpahan (ekonomi dan pembangunan) kalau tak banyak pun sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjurannya di Dewan Dato’ Bahaman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan pemberita sama ada projek berkenaan akan mampu memberi tempias ekonomi termasuk peluang pekerjaan kepada penduduk di daerah Kuala Pilah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 16 Jun lepas dilaporkan berkata pelan jajaran projek mega itu akan dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah pada tahun hadapan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang. – BERNAMA


Pengarang :