Selangorkini
NASIONAL

ECRL: Pemilik tanah akan dibayar pampasan

JELEBU, 16 JUN: Kerajaan memberi jaminan bahawa tanah persendirian yang diambil bagi pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan pampasan kepada pemiliknya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun ia akan ditentukan selepas pelan jajaran projek mega itu dimuktamadkan tahun ini sebelum dijangka memulakan proses pengambilan tanah pada tahun depan.

“Saya tidak mahu timbul isu atau ada spekulasi berkaitan pengambilan tanah supaya projek pembangunan ini dapat dilakukan dengan lancar.

“Kita belum putuskan lagi jumlah keluasan tanah yang diperlukan atau dimana lokasi stesen ini akan dibina tetapi yang pastinya akan ada satu stesen dibina dalam daerah Jelebu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di sini, hari ini.

Loke yang juga Adun kawasan itu dan Anggota Parlimen Seremban berkata sebaik pelan jajaran ECRL dimuktamadkan, kerajaan juga akan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan juga mengadakan sesi penerangan awam.

Beliau dalam pada itu yakin projek ECRL mampu menarik minat pelabur untuk membangunkan kawasan perindustrian di Jelebu, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula dengan kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang- Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

-BERNAMA

 


Pengarang :