Selangorkini
NASIONAL

Empat maut kemalangan dua lori dan kereta

KUANTAN, 16 JUN: Empat orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kereta di Jalan Kuari Bukit Mendi-Felda Bukit Mendi di Bera dekat sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, kemalangan berlaku sekitar 1.35 tengah hari dan semua mangsa yang maut iaitu seorang lelaki dewasa, dua wanita dan seorang kanak-kanak, menaiki kereta Perodua Viva.

Beliau berkata kemalangan juga menyebabkan seorang pemandu lori cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Mendi manakala pemandu sebuah lagi lori yang terlibat tidak mengalami kecederaan.

“Sebuah jentera dengan seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya menerusi kenyataan.

Kemalangan itu menyebabkan kereta Perodua Viva tersebut terperosok ke bawah sebuah lori treler yang tidak membawa muatan manakala sebuah lagi lori terbabas ke bahu jalan.

Beliau berkata jenazah semua mangsa, yang setakat ini masih belum disahkan identitinya, diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

-BERNAMA


Pengarang :