–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA??
NASIONAL

Enam masih dirawat di HSI, sembilan lagi dibenarkan pulang

JOHOR BAHRU, 21 Jun : Enam daripada 15 mangsa yang dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini selepas mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas dipercayai akibat terdedah dengan pencemaran udara, semalam, masih lagi dirawat di wad hospital berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata keenam-enam mangsa merupakan murid dari Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang, berusia antara 9 hingga 10 tahun dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Sehingga 6 petang semalam, enam dari 15 mangsa telah dimasukkan ke wad biasa bagi mendapatkan rawatan selanjutnya manakala selebihnya telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan operasi pemantauan di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan.

Mohd Khuzzan berkata bilik gerakan itu dibuka bagi membuat pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang, dengan operasi akan diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri dan Jabatan Alam Sekitar Johor.

Katanya, berdasarkan pemantauan awal kualiti udara setakat ini, bacaan udara adalah baik dengan parameter karbon monoksida (CO), hidrogen sulfida (H2S) dan sebatian organik meruap (VOS) adalah pada paras sifar manakala bacaan paras oksigen pula adalah 21.2 peratus (normal).

“Pemantauan kualiti udara akan terus dibuat secara berkala (setiap 4 jam) dan sebarang perubahan kualiti udara akan dimaklumkan segera bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, menerusi siasatan awal yang dijalankan JAS, tiada punca spesifik yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan tersebut (simptom muntah dan sesak nafas) selain tiada juga kejadian pembuangan atau pelupusan haram pembuangan terjadual, dikesan.

Namun begitu, JAS akan meneruskan siasatan berhubung punca kejadian dan akan memaklumkan perkembangan siasatan itu dari semasa ke semasa.

Mohd Khuzzan berkata buat masa ini, segala aktiviti sukan boleh dilakukan seperti biasa dan tiada keperluan untuk memakai topeng muka berikutan bacaan kualiti udara di kawasan berkenaan adalah normal.

“Seperti yang saya katakan semalam, kalau mereka (penduduk) di kawasan sekitar ini ada mengalami simptom simptom sesak nafas dan muntah-muntah, sila pergi kesihatan berdekatan,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, 13 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun dan dua kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan setelah mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas akibat terdedah kepada udara yang disyaki tercemar itu.

Pada 7 Mac lalu, hampir 6,000 penduduk di kawasan sama terjejas akibat pencemaran udara dari pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Pencemaran tersebut turut mengakibatkan sebanyak 111 buah sekolah ditutup sementara. -BERNAMA


Pengarang :