SELANGOR

Kepala kanak-kanak tersangkut di lubang tudung periuk

 

KUALA LUMPUR, 1 Jun : Tindakan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun memasukkan kepalanya di lubang penutup periuk mengundang padah apabila kepalanya tersangkut kira-kira setengah jam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Khalish Akil Hassan Basri dikatakan bermain penutup periuk itu di rumahnya di Taman Ampang Indah di sini sebelum gagal mengeluarkan penutup itu daripada kepalanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata ibu mangsa bertindak menghubungi pihak bomba selepas beliau juga gagal mengeluarkan penutup periuk itu daripada kepala anaknya.

“Pihak bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas untuk menggunting tudung periuk itu bagi mengeluarkan kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norazam berkata lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasj kejadian selepas menerima panggilan pukul 8.04 malam tadi. -BERNAMA


Pengarang :