SELANGOR

EXCO: Tiada kompromi pegawai rasuah, salah guna kuasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan rasuah dan penyelewengan termasuk penyalahgunaan kuasa di pentadbiran Selangor, tegas Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru berkata, penerima dan pemberi suapan adalah salah sama sekali.

“Malaysia baharu tiada tempat bagi rasuah dan Kerajaan Negeri komited untuk membanteras rasuah sekeras-kerasnya demi melahirkan sebuah pentadbiran yang telus, bersih serta amanah.

“Orang ramai dinasihati supaya menjauhi pemberian suapan dan diminta untuk membuat laporan dengan kadar segera sekiranya mendapati kelakuan-kelakuan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas tindakan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang terbabit dalam kes menerima suapan, beliau berkata, pegawai berkenaan sudah diarahkan berhenti bertugas di luar dan sedang menjalani siasatan dalaman.

Katanya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembabitan Surujanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes berkaitan dan sudah mengarahkan MBPJ memberi kerjasama sepenuhnya.


Pengarang :