SUKANKINI

FAM mahu Harimau Malaya terus konsisten

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe untuk terus kekal konsisten selepas berjaya menundukkan Timor Leste 7-1 dalam perlawanan pertama ‘play-off’ kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam tadi.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media di Facebook rasmi FAM berharap pasukan negara kekalkan tempo perlawanan dan dapat beraksi lebih baik pada aksi timbal balik nanti.

“Harimau Malaya bermula langkah kanan serta mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi minggu Hari Raya ini. Saya juga berharap Harimau Malaya terus fokus bagi memastikan kita menang selesa pada perlawanan timbal balik untuk mara ke pusingan kedua kelayakan pada September nanti,” katanya.

Perlawanan kedua dengan Timor Leste sebagai tuan rumah akan berlangsung di venue sama, Selasa (11 Jun) ini dan Malaysia perlu mengesahkan kemenangan mutlak untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

Enam pemenang daripada pusingan pertama termasuk pemenang play-off antara Malaysia dan Timor Leste, akan menyertai 34 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Pada pusingan kedua, yang dijadual September ini, 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023. -BERNAMA


Pengarang :