NASIONAL

FAMA perkasa kaedah pasaran secara digital

KOTA BHARU, 16 JUN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkasakan kaedah pasaran hasil pertanian secara digital dalam usaha melonjakkan pendapatan petani di seluruh negara.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, bagi tujuan itu, FAMA memperkenalkan portal agrobazaar online dan pasar tani.com yang berfungsi sebagai platform pemasaran maya bagi transaksi jualan dan belian produk pertanian di bawah agensi itu.

“Setakat ini, portal ini mempunyai 480 pemasar dengan lebih 20,000 produk. Kita sekarang dalam proses menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pemain industri terkemuka negara selain beberapa pasar raya besar untuk melonjakkan jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Bertemu Pelanggan Sempena Aidilfitri di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah FAMA negeri Mohd Ariffin Awang.

Ishak berkata FAMA juga sedang merangka program pembelian secara dalam talian bagi 790 buah pasar tani seluruh negara yang mana pembeli boleh membuat pesanan awal dan kemudiannya mendapatkan barangan sama ada di pasar tani atau di hantar terus kepada pelanggan.

Katanya kaedah pemasaran baharu itu diyakini akan memberi kelebihan kepada petani memasarkan produk masing-masing dengan lebih efisien sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

“Ini adalah antara langkah transformasi yang dilaksanakan FAMA dalam usaha menyediakan kaedah pasaran yang lebih cekap sekaligus meningkatkan pendapatan petani,” katanya.

Ishak berkata FAMA juga akan memperkenalkan program baharunya iaitu tani ekspres bagi menyediakan peluang kepada golongan muda meraih pendapatan melalui aktiviti pemasaran hasil pertanian.

Katanya melalui program itu golongan muda akan mendapatkan hasil pertanian daripada kebun-kebun kecil atau ladang yang kemudiannya dijual ke pasar tani, pusat pengumpulan atau dihantar terus kepada pembeli.

Sementara itu, katanya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan mencatat jualan tertinggi seluruh negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini iaitu kira-kira RM144.3 juta.

Katanya rekod jualan itu satu pencapaian besar yang amat membanggakan buat RTC Kelantan yang kini turut menjadi daya tarikan pelancongan.

-BERNAMA

 


Pengarang :