NASIONAL

FAMA sasar nilai jualan pasar tani RM1 bilion

TAPAH, 2 Jun : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 bilion dapat dijana melalui pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Basri Jasmo berkata peningkatan nilai jualan itu berdasarkan penambahan 25 buah pasar tani baharu di setiap negeri pada tahun ini.

Katanya berbanding pada tahun lepas, nilai jualan yang dihasilkan adalah sebanyak RM850 juta melibatkan 757 buah pasar tani di seluruh negara.

“Nilai jualan dalam tempoh empat bulan pada tahun ini amat menggalakkan dan kita menyasarkan peningkatan nilai jualan sepanjang tahun ini boleh mencecah sebanyak RM900 juta sehingga RM1 bilion,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ pasar tani peringkat negeri yang disempurnakan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari di tapak letak kereta Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Basri berkata ia diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan seperti daging, ayam, sayur-sayuran, kuih-muih serta ketupat dan rendang.

Beliau berkata sejumlah 398 pasar tani beroperasi selama lima hari bermula Jumaat lepas sehingga Selasa ini yang memberi penjimatan kepada pengguna antara lima peratus hingga 20 peratus.

“Program ini diadakan dalam usaha kerajaan untuk menangani kenaikan harga barangan keperluan di pasaran terutama menjelang musim perayaan,” katanya.

Dalam pada itu, Basri berkata FAMA turut menganjurkan program ‘My Best Buy’ Pra Aidilfitri 2019 yang bermula sejak 25 Mei sehingga Selasa depan di 18 lokasi terpilih.

“Program itu yang dilaksanakan sejak 2014 melibatkan 720 peserta program dan kita menyasarkan sejumlah 70,000 pengunjung untuk mengunjungi program tersebut yang menawarkan pelbagai produk antaranya hasilan laut serta barangan runcit seperti minyak, bawang, tepung dan gula.

“Kita menjangkakan nilai jualan sejumlah RM600,000 sepanjang program tersebut berlangsung,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :