Selangorkini
NASIONAL

Farid Kamil diperintah bela diri atas tuduhan cederakan anggota polis

PETALING JAYA, 21 Jun : Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan pelakon filem Lagenda Budak Setan, Datuk Farid Kamil Zahari membela diri atas empat pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Januari tahun lalu.

Majistret Nor Arifin Hisham membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti hujahan dan pertimbangan keterangan saksi-saksi termasuk eksibit yang dikemukakan.

“Setelah mahkamah membuat penilaian maksimum yang meyakinkan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan mengikut Seksyen 323, Seksyen 353 dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,” kata Nor Ariffin dan menetapkan 17 dan 18 Julai untuk pelakon itu membela diri terhadap keempat-empat pertuduhan.

Terdahulu ketika ditanya mahkamah mengenai prosiding bela dirinya, suami kepada pelakon Diana Danielle itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran manakala pelakon itu diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif dan Megat Syazlee Mokhtarom.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pada 16 Jan 2018, Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36, dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 25.

Farid Kamil juga berdepan dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Muhammad Nizam dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas.

Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lepas, pelakon itu dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini

atas kesalahan penyalahgunaan dadah, namun Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Farid mengakui tempoh penahanannya di penjara selama 35 hari adalah satu rahmat daripada Allah yang memberikannya satu jalan lurus.

Farid, 38, yang kelihatan ceria dan tidak putus dengan senyuman itu berkata, pengalamannya di Penjara Kajang sukar digambarkan dengan perasaan.

“Alhamdulillah…semuanya berjalan dengan lancar dan apa yang ditentukan Allah pastinya akan berlangsung. Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih dengan doa daripada orang ramai untuk diri saya,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan bertemu kedua-dua anaknya selepas dibebaskan kelmarin, Muhammad dan Nur Aurora, Farid tersenyum dan berkata, ‘keadaan anak-anak saya comel seperti biasa.’ Sebelum beredar, Farid sempat mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua peminatnya. -BERNAMA


Pengarang :