GLOBALSUKANKINI

Fernando Torres umum persaraan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Bekas penyerang Sepanyol, Fernando Torres mengumumkan persaraan dari sukan bola sepak selepas menempuh karier sebagai pemain profesional selama 18 tahun.

Pengumuman mengejutkan itu dilakukan melalui satu klip video yang dimuat naik di akaun Twitter @Torres dan Instagram @fernandotorres.

Terkenal dengan gelaran El Nino, beliau yang kini berusia 35 tahun pernah beraksi bersama Atletico Madrid di La Liga, Liverpool dan Chelsea di Liga Perdana Inggeris sebelum berkelana ke pasukan Liga Jepun, Sagan Tosu selain menyertai AC Milan secara pinjaman.

Sepanjang karier bersama Atletico Madrid, Torres antara pemain ketika pasukannya tewas kepada Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah, pada 2016 sebelum menjulang Piala Europa, pada 2018.

Tidak memenangi sebarang kejuaraan bersama Liverpool, gandingannya bersama Steven Gerrard selama empat musim pasti diingati sebelum beliau berhijrah menyertai Chelsea, pada 2011.

Bersama The Blues, Torres memenangi Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah pada 2012 serta Piala Europa, pada 2013.

Torres yang sinonim menggunakan jersi bernombor 9 merupakan antara tonggak utama skuad emas La Roja dengan tiga kejuaraan utama; Piala Eropah pada 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Lebih manis, jaringan tunggal Torres pada perlawanan akhir bertemu Jerman pada 2008 membolehkan Sepanyol menjulang Piala Eropah buat pertama kali.

Secara keseluruhan, beliau menjaringkan 260 gol dari 756 penampilan sepanjang aksi selama 18 tahun.

Foto kredit: irishnews.com


Pengarang :