Selangorkini
SELANGOR

Fikir dahulu sebelum kongsi

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUN: Kesahihan sesebuah berita perlu dipastikan sebelum disebar atau dikongsi kepada umum khususnya menerusi laman sosial kerana ia boleh mendatangkan fitnah jika perkongsian itu tidak tepat.

Ini kerana kepesatan perkembangan media sosial baru seiring dengan kemajuan dan kemodenan kini telah mula membentuk satu gejala yang sangat membimbangkan masyrakat.

Berdasarkan kandungan khutbah Jumaat bertajuk ‘Fitnah Membawa Punah’ yang dierbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini menyatakan:

“Pada zaman teknologi dunia tanpa sempadan ini segala perkara, peristiwa dan berita mudah disebarkan dengan cepat, meluas dan mudah. Hanya dengan perantaraan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp, ia dapat disebarkan ke seluruh dunia dalam beberapa saat sahaja.

“Ditambah dengan sikap tidak mahu ketinggalan maka ‘berita sensasi’ atau ‘berita panas’ terus disebarluaskan dan ditokok tambah tanpa sebarang usul periksa.

“Hakikat sebenarnya, berita-berita tanpa sebarang pengesahan dan pembuktian adalah fitnah-fitnah yang disebarluaskan,” katanya.

Penegasan berkenaan merupakan antara kandungan khutbah Jumaat bertajuk ‘Fitnah Membawa Punah’ yang diterbitkan Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Intisari khutbah turut menyebut, fitnah membawa banyak keburukan dan ia adalah dosa manusia sesama manusia.

Salain itu, fitnah juga boleh merosakkan persaudaraan, menyebabkan keadaan menjadi kucar-kacir bahkan boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

“Allah SWT tidak akan mengampun dosa pembuat dan penyebar fitnah kecuali individu yang difitnah telah memberikan kemaafan.

“Betapa berat kesan penyebaran fitnah itu kerana ianya boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu, tokoh atau kumpulan tertentu.

“Bermula dengan fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya rosak akhirnya hancur bahkan membentuk permusuhan yang berkekalan hingga mengganggu gugat keamanan negara.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita melakukan perkara-perkara yang lebih bermanfaat berpandukan syariah daripada melakukan perkara-perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT yang akhirnya membawa musibah kepada negara dan merugikan ummah,” katanya.

Mutakhir ini, budaya fitnah dijadikan pihak tidak bertanggungjawab sebagai medium untuk mewujudkan memecahkan masyarakat menerusi penyebaran berita palsu

Lebih mendukacitakan, perkongsian maklumat tidak tepat itu sering diulang semula tanpa disedari hingga mengakibatkan segelintir pihak percaya tanpa melakukan unsur periksa.


Pengarang :