SELANGOR

FKPM UiTM perkasa budaya warisan Malaysia peringkat global

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 13 JUN: Menyedari budaya warisan Malaysia semakin ditelan zaman, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengambil inisiatif mempromosikannya ke seantero dunia, baru-baru ini.

Program Broadening Cultural Horizon (BCH) anjuran kursus Antarapersonal Komunikasi FKPM julung kali diadakan membabitkan pelajar antarabangsa seperti Jepun, China, Indonesia, Korea, Turki, Thailand dan Jerman yang berlangsung di Menara Sultan Abdul Aziz Shah, di UiTM Shah Alam,

Ketua Projek BCH, Wan Elissa Shahirah Wan Mohd Nasir berkata, penganjuran program itu bakal menghasilkan generasi lebih baik, sekali gus menanamkan pemikiran positif terhadap amalan dan budaya masyarakat luar.

Katanya, ia juga membuka ruang serta peluang kepada mahasiswa untuk mengetengahkan warisan budaya setiap negara di peringkat global.

“Antara aktiviti sepanjang program ialah sesi perkongsian maklumat dan pameran berkenaan setiap negara seperti permainan serta masakan.

“Pada masa sama, program ini turut menampilkan ‘Walk of Fame’ oleh para pelajar dalam memperagakan busana tradisional mereka di atas pentas,” katanya kepada SelangorKini.

Majlis BCH disempurnakan Dekan FKPM, Prof Dr Azizul Halim Yahya dan Ketua Bersekutu Sekolah Tenaga, Geosains, Infrastruktur Universiti Heriot-Watt Malaysia, Dr Khalik M. Sabil.

Sementara itu, Dr Azizul berkata, pengetahuan mengenali budaya adalah elemen penting bagi mengikuti trend dari semasa ke semasa dan mengetahui pembangunan dunia.

Malah, katanya, tiada negara boleh dibangunkan tanpa kenalan dari luar dan BCH adalah satu landasan khususnya untuk mahasiswa melahirkan idea juga kemahiran.

“Mahasiswa yang mempunyai pemahaman lebih baik terhadap kepelbagaian budaya sudah pasti tidak mempunyai masalah jika mereka mengelilingi dunia,” katanya.


Pengarang :