NASIONAL

Fokus nilai integriti untuk elak kemalangan di tempat kerja

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Nilai integriti perlu diberi tumpuan bagi memastikan isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja tidak dipandang sebelah mata.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata analisis pihaknya mendapati kurangnya unsur integriti, jujur dan amanah boleh menyumbang kepada insiden kemalangan di tempat kerja yang mengakibatkan kecederaan atau kematian.

Katanya, sikap suka mengambil jalan pintas dan mengelak daripada melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) boleh menjurus kepada amalan tidak selamat di tempat kerja.

“Pembelian peralatan perlindungan diri yang tidak berkualiti, misalnya, boleh meningkatkan risiko kecederaan pekerja.

Selain itu, konflik kepentingan seperti memberi kontrak kepada vendor kurang kompeten boleh mendedahkan pekerja kepada persekitaran berbahaya,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Lee menegaskan semua pihak di sektor swasta dan awam harus sentiasa menjaga integriti dan mengelak amalan rasuah bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Dalam pada itu, Lee berkata NIOSH akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan kali ke-22 pada Ogos ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan menghimpunkan lebih 1,000 peserta termasuk anggota panel dari luar negara.

Katanya, persidangan itu yang bertema ‘Memacu Kecemerlangan Keselamatan Pekerjaan Berlandaskan Integriti Demi Masa Depan’ antara lain melibatkan sesi pembentangan kertas kerja serta perkongsian maklumat dan kepakaran bagaimana kualiti keselamatan di tempat kerja dapat ditingkatkan. -BERNAMA


Pengarang :