Selangorkini
NASIONAL

Gangguan bekalan air 99 peratus pulih

 

KUALA LUMPUR, 28 Jun : Beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang yang terjejas dan mengalami gangguan bekalan air ekoran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang terpaksa dihenti tugas sejak Rabu lalu (26 Jun), hampir pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata keadaan itu berdasarkan pemantauan rapi dan bacaan tekanan di sistem-sistem agihan sehingga jam 6 petang ini.

“Kesemua kawasan di wilayah Hulu Langat telah pulih manakala Presint 14, Putrajaya serta Kampung Sungai Kelambu dan Taman Dato Hormat masih mengalami gangguan dan tekanan rendah.

“Bagi wilayah Petaling, kesemua kawasan telah pulih kecuali aliran bekalan ke Hospital Serdang yang masih belum stabil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bekalan air pulih 99 peratus di 98 kawasan di wilayah Sepang kecuali di Presint 14, yang dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam ini.

Ia disusuli wilayah Kuala Langat (99 peratus) bagi 84 kawasan kecuali Kampung Sungai Kelambu dan Taman Dato Hormat yang dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam ini, manakala bagi wilayah Petaling, (99 peratus) air pulih di 69 kawasan kecuali Hospital Serdang yang dijangka pulih pada 6 pagi esok.

Abdul Raof berkata segala usaha dan tumpuan diberikan ke kawasan tersebut bagi meningkatkan tekanan serta aliran di sistem agihan untuk mempercepatkan proses pemulihan seperti yang disasarkan, namun bantuan lori-lori tangki air masih digerakkan.

Untuk maklumat dan status terkini, orang ramai boleh merujuk Facebook, Twitter dan aplikasi telefon bimbit Air Selangor serta laman sesawang www.syabas.com.my atau boleh hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-2816793 / 019-2800919 untuk sebarang bantuan. -BERNAMA


Pengarang :