GLOBAL

Gelombang panas: Ribuan sekolah di Perancis ditutup

PARIS, 29 JUN: Sebanyak 4,000 sekolah rendah ditutup akibat gelombang panas luar biasa yang melanda kebanyakan kawasan di Perancis, lapor agensi berita Xinhua

“Pengarah sekolah dan Datuk Bandar dimaklumkan mengenai keputusan itu dan langkah segera mengatasi masalah akan diambil. Orang ramai dinasihat untuk mengambil langkah perlu,” kata Perdana Menteri Edouard Philippe pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas, susulan kejadian cuaca panas luar biasa yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Suhu tinggi di Sahara mencetuskan udara panas di Perancis di mana titik panas mencecah sehingga 40 darjah Celsius, dijangka melanda Paris dan kebanyakan bandar raya sepanjang minggu ini.

Pada Jumaat petang suhu mencecah sehingga 45.9 darjah Celcius, tertinggi pernah dicatatkan, berlaku di selatan bandar Gallargues-le-Montueux. Rekod sebelum ini 41.5 darjah Celsius dicatatkan pada Jun 2003 di Narbonne, selatan Perancis.

Perkhidmatan cuaca negara pada Jumaat mengekalkan amaran tahap merah di selatan Herault, Gard, Vaucluse dan Bouches-du-Rhone sehingga Sabtu petang. Ia kali pertama sebahagian wilayah Perancis diletakkan dalam amaran merah sejak sistem itu diwujudkan pada 2004.

Pada 2003, kira-kira 15,000 orang terbunuh akibat cuaca panas melampau.

“Tahun ini kita lebih bersedia berbanding 2003. Kini semua pihak tahu apa perlu dilakukan. Semua hospital juga sudah bersedia,” kata Menteri Kesihatan Agnes Buzyn.

“Mari kita berhati-hati elak aktiviti sukan dan kegiatan luar yang tidak perlu buat masa ini,” tambahnya.

Berikutan itu, pihak berkuasa mengaktifkan pelan tindakan yang antara lain menyediakan “bilik sejuk” di bangunan perbandaran selain membuka kemudahan kolam renang dan menawarkan akses ke taman rekreasi pada waktu malam.

-BERNAMA


Pengarang :