NASIONAL

Genius Kurnia perkasa lima lagi golongan kanak-kanak berkeperluan khas

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Program Genius Kurnia yang sebelum ini hanya tertumpu kepada kanak-kanak autisme diperluaskan kepada lima lagi golongan kanak-kanak berkeperluan khas sejak 1 April lalu.

Pengarah program itu, Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata, ia bertujuan memberi peluang kepada kanak-kanak dalam kelompok tersebut untuk mendapat perkhidmatan dan intervensi awal yang dimiliki Genius Kurnia selepas melalui proses penjenamaan semula daripada Permata Kurnia di bawah Program Permata Negara (Permata).

“Tugas kami sudah menjadi semakin luas iaitu membantu kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun yang didiagnos dengan salah satu daripada enam jenis ketidakupayaan iaitu masalah buta, pekak, sindrom down, cerebral palsy dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) selain autisme,” katanya kepada Bernama.

Hasnah menjelaskan pihaknya sedang menyiapkan modul untuk aktiviti pembelajaran atau konsultasi bagi memperkasa golongan tersebut.

“Modul yang dijangka siap pada hujung tahun ini bakal memberi bantuan dan sokongan kepada kanak-kanak untuk menjalani aktiviti seharian selain mempersiapkan mereka untuk menempuh alam persekolahan yang lebih mencabar.

“Contohnya, kami sudah mula buka kelas untuk kanak-kanak cerebral palsy selama empat hari seminggu bermula April lepas dan modul tersebut boleh digunakan di seluruh negara. Untuk kanak-kanak bermasalah buta dan pekak pula kami akan tawarkan konsultansi,” katanya.

Menurut Hasnah lagi, pihaknya yakin program yang dikendalikan 59 pegawai intervensi dan 50 pembantu dalam pelbagai kepakaran itu mampu memberi impak positif terhadap perkembangan golongan tersebut.

Tambah beliau, satu-satunya pusat Genius Kurnia kini beroperasi di Sentul di sini dan ia akan diperluaskan dengan menambah cawangan di Putrajaya, Kedah dan Melaka dalam masa terdekat agar golongan kanak-kanak kategori berkeperluan khas mampu mendapatkan perkhidmatan mereka.

Permata Kurnia merupakan antara satu daripada lapan program Permata yang berpengalaman mengendalikan 970 kanak-kanak autisme sejak beroperasi pada 2016 di bawah tiga program utama iaitu perkhidmatan intervensi awal dan sokongan keluarga, program prasekolah khas dan program pendidikan komuniti.

Program Permata telah dijenamakan semula kepada Genius pada 15 April lepas setelah ia diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan.

-BERNAMA


Pengarang :