SUKANKINI

Golf Terbuka Amatur angkat Selangor destinasi pelancongan sukan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANGI, 17 JUN: 160 peserta dari dalam dan luar negara bakal berentap dalam Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor kali ke 46 dengan kerjasama Tourism Selangor di Danau Golf Club, bermula pada 4 hingga 7 Julai.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri berazam untuk menghebahkan kepada komuniti golf hingga ke peringkat ASEAN untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berteraskan golf dengan membabitkan diri dalam kejohanan berkenaan.

“Kejohanan ini membuka peluang kepada Tourism Selangor untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan golf yang terunggul di Malaysia.

“Selangor bukan hanya mempunyai kemudahan golf bertaraf dunia, malah kaya dengan seni warisan dan peninggalan sejarah yang akan memberikan nilai tambah kepada pengalaman golf mereka.

“Ini adalah salah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) kami untuk meneroka pelancongan sukan dan golf, yang jelas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di dalam alam industri pelancongan negeri dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Danau Golf Club di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Malaysia Golf Associations (MGA), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengurus Besar Pelancongan Selangor, Mohammad Zaim Mohd Nashir serta Pengurus Kelab Golf Danau, Johan Fariz Mohamed Salleh.

Pada masa sama, Mohd Anwar berkata, pihaknya sememangnya menantikan penganjuran kejohanan itu bagi menarik minat pemain golf dari serata negara.

“Kami berterima kasih kepada Tourism Selangor atas sokongan padu diberikan dan juga kepada Danau Golf Club atas usaha keras yang ditunjukkan bagi memastikan kejayaan kejohanan dirancang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MGA percaya reputasi yang dipegang Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor sebagai penganjur acara golf amatur akan lebih diperkukuh dengan kerjasama baik diterima dari Tourism Selangor.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :