NASIONAL

Harapan untuk Ainul Mardhiah

OLEH NORHAYATI UMOR

MELAKA, 11 JUN: Bapa kepada Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor memberi gambaran anak perempuannya yang berusia sepuluh bulan itu kini sedang melalui proses rawatan seterusnya.

Menerusi Facebook, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, meluahkan harapan untuk anaknya diberi kekuatan dan yakin malaikat ada menjaga Ainul Mardiah.

“Kuat ya anak, kemenangan menunggu mu. Apa pun jawapan Allah, mama dan walid akan terus reda serta bersyukur,” tulisnya.

Kira-kira 8 malam tadi, Ahmad Safiuddin turut memuat naik gambar bilik yang menempatkan Ainul Mardhiah, bagaimanapun bilik itu kosong tanpa kelibat anak kecil berkenaan.

Beliau dan isteri Nurul Erwani Zaidi, 24, tidak dapat menemani anaknya itu.

Menerusi status yang dimuat naik itu juga, beliau dengan rendah diri memohon semua pihak untuk sedekahkan al-fatihah buat jiwa dan diri Ainul supaya anak itu terus kuat dengan perkara yang sedang dilaluinya.

“Yakin dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Tuhan, tiada satu makhluk pun dapat menandingiNya dan semoga Allah berikan sedikit kebijaksanaanNya serta jalan mudah buat para doktor yang sedang merawat Ainul

“Walid dengan mama tunggu kamu di luar ye sayang,” tulisnya.

Pada 24 Mei lalu, Ainul Mardhiah bersama ibu dan bapanya terbang ke London bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sana.


Pengarang :