Skuad kebangsaan melalui perubahan dan mencatat kejayaan membanggakan pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan ke-2 lalu. Foto BERNAMA
BERITA UTAMASUKANKINI

Harimau Malaya baham Timor Laste 7-1

 

KUALA LUMPUR, 7 Jun : Pengorbanan sambutan Aidilfitri skuad Harimau Malaysia berbaloi apabila membelasah Timur Leste 7-1 pada perlawanan pertama ‘play-off’ kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam ini.

Ternyata skuad Timor Leste gagal menandingi percaturan jurulatih Tan Cheng Hoe apabila tuan tumah menguasai perlawanan serta membawa bekalan selesa ke perlawanan kedua di venue sama, Selasa ini.

Malaysia, selaku pasukan ranking ke-168 dunia, bermula dengan cemerlang apabila penampilan sulung pemain berdarah kacukan Malaysia-Barbados, La-vere Corbin Ong memberi impak apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 menerusi tandukan, hasil hantaran lintang Muhammad Safawi Rasid.

Skuad negara kemudian mendapat peluang untuk menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Timor Leste, Gaspar da Silva menjatuhkan penyerang veteran negara, Norshahrul Idlan Talaha, dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, Safawi gagal menyudahkan sepakan penalti itu pada minit ke-17 apabila cubaannya diselamatkan oleh penjaga gol Timor Leste, Aderito Raul Fernandes.

Pemain gantian, Shaher Fikri Md Fauzi, menggandakan jaringan skuad Harimau Malaya pada minit ke-23 apabila menampan bola hantaran lintang Matthew Davies selepas Fernandes menafikan percubaan pertama.

Norshahrul, atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo,menghasilkan jaringan ketiga menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-43 disusuli dua minit kemudian oleh Safawi untuk kedudukan selesa 4-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad Timor Leste, di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Jepun, Norio Tsukitate, berjaya mengurangkan defisit menerusi Joao Pedro da Silva Freitas pada minit ke-52.

Bagaimanapun, skuad negara tersentak dengan jaringan itu dan terus memperkemaskan rentak permainan sebelum meraih gol kelima menerusi rembatan kencang Safawi pada minit ke-59 untuk gol peribadi keduanya selepas menerima hantaran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.

Malaysia menutup tirai jaringan dengan dua gol, masing-masing daripada pemain gantian, Mohd Faiz Nasir menerusi sepakan volinya pada minit ke-78 dan Akhyar Rashid, seminit sebelum perlawanan tamat.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan itu, Cheng Hoe menyifatkan kemenangan besar itu adalah sebagai hadiah Aidilfitri untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita tidak boleh leka dan terlalu yakin dalam perlawanan seterusnya. Kami bermain mengikut perancangan serta prestasi baik pemain. Kita perlu mengekalkan momentum ini pada perlawanan timbal balik nanti,”​​​​​​​ katanya

Perlawanan kedua dengan Timor Leste sebagai tuan rumah akan berlangsung di venue sama, Selasa ini dan Malaysia perlu mengesahkan kemenangan mutlak untuk mara ke pusingan kedua kelayakan.

Enam pemenang daripada pusingan pertama termasuk pemenang play-off antara Malaysia dan Timor Leste, akan menyertai 34 pasukan ranking teratas di Asia pada pusingan kedua termasuk penyandang juara Piala Asia, Qatar, selaku tuan rumah Piala Dunia 2022.

Pada pusingan kedua, yang dijadual September ini, 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan juara kumpulan dan empat pasukan kedua terbaik akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan slot automatik ke Piala Asia 2023. -BERNAMA


Pengarang :