BERITA UTAMASELANGOR

Haris angkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 JUN: Dato’ Haris Kasim secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang baharu, di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini.

Mantan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu sebelum ini sudah melaporkan diri dan bertugas di Pihak Berkuasa Tempatan terbabit, bermula 3 Jun lalu.

Majlis angkat sumpah pada 9.30 pagi itu turut dihadiri Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan dan pengurusan tertinggi MBSA.

Haris, 56, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (2005 hingga 2011), Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (2011) dan Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Sepang (2012 hingga 2014).

Anak kelahiran Lumut, Perak itu adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Malaya serta Diploma Petadbiran Awam dan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam (INTAN).


Pengarang :