NASIONAL

Hati-hati memandu ketika hujan

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pengguna jalan raya di sekitar ibu negara dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika memandu dalam keadaan permukaan jalan yang basah susulan keadaan cuaca sekarang yang kerap hujan terutama pada sebelah petang dan malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata berdasarkan rekod, pihaknya mendapati bilangan kes kemalangan meningkat apabila hujan.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada pertambahan jumlah kemalangan ketika hujan, antaranya permukaan jalan yang basah mengurangkan daya cengkaman tayar kenderaan.

“Ini boleh menjejaskan haluan kenderaan semasa kenderaan dipandu dengan laju melintasi permukaan yang ada takungan atau lintasan air.

“Ketika berada dalam keadaan hujan lebat, jarak pandangan semakin terhad pada waktu malam dan kenderaan yang dipandu dengan laju juga sering terbabas apabila melalui selekoh dengan permukaan basah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Selain itu, faktor lain menyumbang kepada berlakunya kemalangan adalah kegagalan teknikal, termasuk lampu amaran, lampu brek dan lampu belakang yang tidak berfungsi.

Zulkefly berkata, pengguna jalan raya yang sering menukar haluan atau lorong di saat akhir juga boleh menyebabkan kemalangan terutama melibatkan kenderaan dari belakang.

Pengguna turut dinasihatkan supaya tidak mengekori kenderaan lain terlalu rapat kerana keupayaan memberhentikan kenderaan atas jalan basah merosot dan memerlukan lebih jarak, katanya.

“Kita meminta pengguna jalan raya lebih berwaspada ketika hujan seperti memandu dengan lebih perlahan, memberi isyarat lebih awal dan memastikan keadaan selamat sebelum menukar haluan.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan lintasan atau kawasan tumpuan pejalan kaki,” katanya.

Zulkefly berkata, fasa kedua Op Selamat ke-15, iaitu fasa pulang cuti Hari Raya akan bermula hari ini dan pengguna jalan raya yang akan pulang ke ibu negara dinasihatkan mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kemalangan susulan hujan yang kerap turun sekarang.

Laporan Op Selamat menunjukkan sejumlah 1,725 kemalangan jalan raya di Kuala Lumpur melibatkan dua kematian dalam tempoh lapan hari sejak operasi itu dilancarkan pada 29 Mei lepas.

– BERNAMA


Pengarang :