NASIONAL

Helah kad kredit buat warga emas kerugian RM27,500

KUANTAN, 16 JUN: Seorang warga emas kerugian RM27,500 selepas diperdayakan untuk membuat bayaran kad kredit tidak wujud yang kononnya didaftarkan atas namanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 63 tahun mendakwa dihubungi lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai pegawai bank pada 31 Mei lalu.

Katanya, suspek mendakwa mangsa yang menetap di Raub dekat sini, mempunyai kad kredit yang didaftarkan di cawangan bank di Johor Bharu, Johor dan telah digunakan.

“Mangsa menafikan perkara itu, namun dikatakan perlu berhubung dengan pegawai Bank Negara. Pada 4 Jun lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan terlefon daripada suspek memintanya untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

“Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat transaksi pemindahan wang daripada dua akaun bank berbeza milik mangsa ke dalam akaun bank yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa juga diarahkan untuk mengoyakkan resit transaksi pemindahan wang itu dan tidak memberitahu sesiapa berhubung panggilan telefon tersebut.

Bagaimanapun, mangsa berasa tertipu apabila mendapati wang simpanan di dua bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM27,500 dan semakan mendapati wang itu dipindahkan ke dalam akaun baharu yang tidak diketahuinya.

Sehubungan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang peniaga berusia 28 tahun membuat laporan di IPD Raub semalam, mendakwa ditipu syarikat pinjaman kewangan tidak wujud yang mengiklankan perkhidmatan di laman sosial.

Mangsa mendakwa dia menghubungi wakil syarikat itu menerusi nombor aplikasi WhatsApp pada Khamis lalu, kerana mahu meminjam RM40,000 dan diminta membayar RM240 bagi urusan penyediaan surat perjanjian.

“Suspek telah menghantar gambar surat kelulusan pinjaman dan menuntut pelbagai bayaran lain daripada mangsa yang akhirnya berjumlah RM9,990 namun sehingga kini, mangsa tidak pernah menerima wang yang dijanjikan,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :