EKONOMI

Hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion setakat akhir 2018

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan hutang dan liabiliti kerajaan adalah berjumlah RM1.1 trilion atau kira-kira 75.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018.

Jumlah itu berikutan peningkatan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741.0 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan hutang langsung ini adalah untuk membiayai defisit fiskal, terutamanya bagi menampung komitmen pajakan PPP dan perbelanjaan off-budget yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.

“Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh kerajaan juga meningkat, khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti ECRL, MRT dan LRT.

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi adalah untuk menampung pembiayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan.

“Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) bersama sembilan anggota lain di MOF, Putrajaya.

MOF menyatakan, JPH akan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal, sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

Ini termasuklah pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.

“Kerajaan komited terhadap langkah konsolidasi fiskal, serta konsolidasi hutang dan liabiliti secara menyeluruh.

“Langkah ini diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif.

“Pada masa kini, terdapat hutang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’.

“Bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang Kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Setakat 31 Mei 2019, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78% setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Di samping itu, jawatankuasa juga akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan serta komitmen lain.

 


Pengarang :