NASIONAL

Imigresen bakal laksana operasi besar-besaran di Bukit Malut

ALOR SETAR, 24 Jun : Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan segera melaksanakan operasi besar-besaran bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui laluan Bukit Malut di Langkawi.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin ketika dihubungi Bernama berkata operasi itu sebagai langkah untuk memastikan tiada warga asing yang menyelinap masuk dan menetap secara haram di kawasan itu.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan terdapat anggaran lebih 800 kediaman dibina di Bukit Malut dengan jumlah penghuninya sekitar 5,000 hingga 8,000 pelarian menetap secara kekal yang difahamkan dibuka sejak tahun 80-an.

Akhbar berkenaan turut melaporkan bahawa penghuni Bukit Malut, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pekan Kuah, ‘kebal’ undang-undang dengan warga asing tersebut membina penempatan haram yang dibina mereka secara menceroboh tanah rizab hutan paya bakau di situ.

“Kita mengambil maklum terhadap laporan itu dan kita akan menyiasat dan membuat pemeriksaan semula di kawasan Bukit Malut.

“Melalui operasi bersepadu pernah kita jalankan bersama AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) Kedah pada tahun lepas, kita dapati tiada warga asing menetap secara haram di situ,” katanya.

Zuhair berkata hasil pemeriksaan lanjut pihaknya sebelum ini mendapati kebanyakan penduduk di situ terdiri daripada masyarakat Melayu Islam Kedah yang menetap di kawasan berkenaan sejak tahun 80-an. -BERNAMA


Pengarang :