NASIONAL

Imigresen tahan 130 warga asing

KAJANG, 15 JUN: Seramai 130 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di Kajang dan Puchong, malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan di 53 unit pangsapuri di Kajang, pihaknya menahan 78 rakyat Nigeria, enam Filipina dan masing-masing seorang India dan Pakistan serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Beliau berkata, seramai 40 lagi rakyat asing ditahan dalam operasi di sebuah kawasan kediaman di Puchong, iaitu dari Nepal, Myanmar, Nigeria, Sierra Leone, Guinea, Tanzania dan Kenya.

“Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa, salah guna pas, tamat tempoh pas pelajar dan pelancong serta menjalankan perniagaan.

“Kami juga mendapati ada antara warga asing ini disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian susulan penemuan komputer riba yang mengandungi maklumat mencurigakan.

“Perkara ini akan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas tamat Operasi Bersepadu itu.

Operasi yang disertai 96 pegawai imigresen, 15 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu bermula 10.30 malam dan berakhir kira-kira empat jam kemudian.

Khairul Dzaimee berkata, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu ketika operasi kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Beliau berkata, semua rakyat asing yang ditahan berusia satu hingga 66 tahun itu dibawa ke lokap imigresen di Putrajaya sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil atau Semenyih. – BERNAMA


Pengarang :