NASIONAL

Import sisa plastik : 62 syarikat pemegang AP

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Sejumlah 62 syarikat tempatan mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di negara ini.

Penolong Pengarah (Unit Kemudahan dan Permit Import) JPSPN Wemi Kalsuna Katerun berkata kesemua syarikat yang diluluskan lesen berkenaan setakat ini sentiasa dipantau bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Tindakan tegas, katanya, akan diambil termasuk menarik balik lesen sekiranya mana-mana syarikat pengimport didapati mencabuli syarat kontrak.

“Jika didapati pihak syarikat membawa masuk barang-barang kotor atau skrap plastik yang kotor, JPSPN akan menyenarai hitam pembekal dari luar negara…jika berlaku lagi, JPSPN akan menggantung AP syarikat selain syarikat juga berdepan tindakan lesen import ditarik balik,” katanya kepada Bernama.

Mengikut laman web JPSPN, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), syarikat pengimport perlu memastikan invois yang dikemukakan bertandatangan dan bercop oleh pengeksport dan pemohon perlu mengemukakan gambar sebenar sisa plastik yang ingin diimport.

Jabatan juga menetapkan bahawa kebenaran import hanya diberi kepada pengimport yang mempunyai premis dan menjalankan aktiviti pemprosesan/kitar semula sisa plastik import

Mengikut syarat premis pemprosesan skrap plastik kod tarif 3915, pemegang AP yang diluluskan untuk mengimport skrap plastik hanya dibenar menyimpan dan memproses skrap plastik yang diluluskan di premis yang dinyatakan di surat kelulusan pengeksport (pembekal) skrap plastik sahaja.

Menurut jabatan itu, adalah menjadi kesalahan kepada pemegang AP, sekiranya didapati AP yang telah diluluskan dijual dan skrap plastik dihantar dan diproses di premis lain. Skrap plastik yang diimport mestilah diproses di kilang yang telah mendapat kelulusan JPSPN sahaja.

Semua pengimport dikehendaki mendapatkan surat penjenisan daripada pihak Kastam bagi memastikan dagangan yang diimport adalah di bawah kod tariff yang betul.

Julai tahun lepas, KPKT mengumumkan pemberian AP sisa plastik dihentikan untuk tempoh tiga bulan susulan insiden pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang dikatakan berpunca daripada kilang memproses plastik import secara haram.

Setakat ini hanya 62 syarikat memegang lesen sah untuk mengimport sisa plastik di bawah kod 3915 selepas permohonan untuk AP dibuka semula Oktober lepas.

Sementara itu, Wemi berkata AP sebuah syarikat di Johor telah digantung kerana menyalah guna lesen dengan menipu borang deklarasi import bagi melepaskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.

Beliau berkata JPSPN bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) kini meneliti untuk memperkemas prosedur penguatkuasaan import sisa plastik di pelabuhan-pelabuhan negara.

Perkara itu bakal dibentang kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Isu pengimportan bahan sisa plastik tercemar menjadi tular dan bualan hangat mutakhir ini sehingga Menteri MESTECC Yeo Bee Yin mengisytihar ‘perang plastik’ bagi memerangi lambakan sampah yang tidak boleh dikitar dibawa masuk ke negara ini.

Terbaharu beliau mengarahkan 60 kontena dengan 3,000 tan metrik sisa sampah yang ‘tersadai’ di Pelabuhan Klang dihantar semula ke negara asal secara berperingkat.

Selain di Pelabuhan Klang, media turut melaporkan sebanyak 265 kontena yang mengandungi sisa sampah plastik tersadai di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sejak Januari lepas. -BERNAMA


Pengarang :