EKONOMINASIONAL

Indeks kos hidup pelengkap kepada IHP

PUTRAJAYA, 27 Jun : Kerajaan sedang membangunkan Indeks Kos Hidup sebagai pelengkap kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) sedia ada, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Tidak seperti IHP yang menjejak perubahan umum harga pengguna, indeks baharu ini akan menentukan kos hidup minimum yang diperlukan seseorang untuk hidup dalam keadaan selesa.

“Ia akan membantu kerajaan membangunkan dasar yang lebih tepat dalam menangani kos sara hidup yang dihadapi rakyat Malaysia,” katanya pada mesyuarat Perundingan Belanjawan 2020 , di sini hari ini.

Lim berkata kerajaan kini aktif mengurus tekanan kos hidup yang dihadapi rakyat, dan berkata kadar inflasi Mac, April dan Mei 2019 berada pada tahap rendah dan stabil pada 0.2 peratus.

Lim juga berkata kerajaan sedang menilai dan merangka pelan baharu untuk mendapatkan setengah juta golongan muda Malaysia bekerja menerusi pelbagai program.

“Ini merupakan inisiatif penting memandangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia meningkat kepada 10.9 peratus pada 2018, daripada 9.9 peratus pada 2011. Kadar ini dianggap tinggi berbanding 3.4 peratus kadar pengangguran negara,” kata Lim. -BERNAMA


Pengarang :