BERITA UTAMANASIONAL

Indonesia, Malaysia dan Filipina jalani latihan bersama

HANOI, 13 JUN: Indonesia, Malaysia dan Filipina telah bersetuju untuk mengadakan latihan rondaan darat bersama bulan depan bagi menangani cabaran keselamatan di perairan antara Kepulauan Borneo dan selatan Filipina, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu berkata, latihan tiga pihak itu akan berlangsung di pekan Tarakan yang terletak di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia dalam usaha ketiga-tiga negara Asia Tenggara itu menentang kumpulan militan Islam.

Ketiga-tiga negara kini memiliki pusat perintah maritim di pelbagai lokasi di seluruh rantau itu yang menyediakan perkongsian maklumat dan risikan.

Sejak awal 2017, berpuluh-puluh rakyat Indonesia dan Malaysia telah diculik di Laut Sulu, yang terletak di kawasan perairan wilayah barat daya Filipina, oleh lelaki bersenjata yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak yang terkenal dengan keganasannya, Abu Sayyaf.

Selain menculik bagi mendapatkan tebusan, Abu Sayyaf terlibat dalam aktiviti pengeboman, pembunuhan dan peras ugut, yang menjadikan ia ancaman keselamatan paling serius kepada Filipina.

– BERNAMA

-Foto Sumber: Kementerian Pertahanan Republik Indonesia


Pengarang :