BERITA UTAMANASIONAL

Ingatkan polis datang, rupanya Agong – mangsa kemalangan

PUTRAJAYA, 26 JUN: “Mulanya saya ingatkan polis yang datang, rupa-rupanya Agong,” kata Jasliza Jamil, mangsa kemalangan yang tular apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli membantu beliau ketika kemalangan di Putrajaya, hari ini.

Pegawai Penerangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) itu terlibat dalam kemalangan di kawasan susur Persiaran Barat Lebuh Sentosa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Presint 2, di sini pagi ini.

Menurut Jasliza, kira-kira 10 minit selepas terbabit dengan kemalangan, beliau ternampak kenderaan polis menghampiri kawasan kemalangan, namun tidak menyangka ia adalah kenderaan yang mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

“Masa itu saya masih trauma dan masih duduk di dalam kereta. Kawan-kawan sepejabat juga sudah sampai ketika itu.

“Saya ingat polis datang, tetapi bila saya nampak ada payung kuning dengan beberapa lelaki memakai songkok hitam dengan lilitan putih, barulah saya tahu siapa yang datang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jasliza, 38, berkata Seri Paduka meluangkan masa kira-kira lima minit bertanyakan keadaannya dan menawarkan diri untuk membawa beliau ke hospital jika mengalami kecederaan.

Ketika dihubungi kira-kira 1 tengah hari, Jasliza berkata beliau baharu sahaja selesai membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di klinik.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Pegawai istana ada juga menghubungi saya untuk bertanya jika ada lagi bantuan yang diperlukan.

“Kiranya tidak habis di tempat kejadian, pihak istana ada lagi follow up (susulan) selepas itu,” katanya.

Gambar-gambar Seri Paduka memberi bantuan kepada Jasliza yang memandu kenderaan Perodua Alza merah itu tular di media sosial selepas dimuat naik di laman Instagram Istana Negara.

Menurut catatan hantaran itu, Sultan Abdullah turun dari kenderaan rasmi Seri Paduka untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan sebelum meneruskan perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hasan mengesahkan menerima laporan mengenai kemalangan itu yang berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi dalam keadaan cuaca hujan renyai.

Menurutnya, kenderaan dipandu Jasliza, yang sedang dalam perjalanan dari Gombak ke pejabatnya di sini, hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum menaiki pembahagi jalan sebelah kanan.

Konvoi Seri Paduka yang kebetulan melalui lokasi kemalangan berhenti untuk melihat keadaan Jasliza, katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :