NASIONAL

Insiden Pasir Gudang tidak sepatutnya berulang

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya insiden sama sebelum ini.

“Ini kurang cerdik. Nampaknya ada industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan menyebabkan insiden ini berlaku lagi.

“Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes pencemaran di Pasir Gudang kali ini yang menyebabkan ramai sesak nafas dan muntah sejak Khamis lalu.

Menurut laporan semalam, kerajaan Johor mengarahkan 17 buah sekolah, 69 tadika serta sebuah institusi pengajian tinggi membabitkan 20,108 pelajar ditutup selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis sebagai langkah berjaga-jaga.

-BERNAMA


Pengarang :