Selangorkini
NASIONAL

Insiden sesak nafas: Keputusan sampel darah diketahui esok

JOHOR BAHRU, 23 JUN: Keputusan sampel darah mangsa yang terkesan akibat sesak nafas yang melibatkan pelajar dan murid sekolah di Pasir Gudang Khamis lalu dijangka diketahui esok, kata Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan sampel darah daripada pihak berkaitan untuk mengetahui punca sebenar insiden sesak nafas itu.

“Kita masih tidak tahu (punca). Tiba-tiba pelajar kena gejala mual, muntah dan pengsan. Kalau yang (kes) lepas, kita dapat cari (punca) dari Sungai Kim Kim tapi yang ini tidak pasti. Kita masih tunggu sampel darah daripada pesakit, dari situ nanti kita akan dapat tahu punca sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Peletakan Struktur Akhir Projek Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri mempunyai rancangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian bersepadu susulan dua insiden termasuk kes pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas, Sahruddin berkata kerajaan negeri akan melihat kesesuaian perkara itu.

Beliau berkata, satu perbincangan akan dibuat bersama Plan Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) kelak untuk melihat secara terperinci kesesuaian berkenaan.

“Itu nanti kita akan bincang, kita akan buat satu lagi siasatan yang lebih terperinci dan mungkin juga tubuhkan jawatankuasa,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :