NASIONAL

Isu dera: Tiga beranak direman lima hari

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Tiga beranak yang ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes penderaan ke atas dua kanak-kanak di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong dekat Serdang, direman lima hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan reman sehingga 20 Jun ke atas ketiga-tiga individu berkenaan.

Menurut Ismadi, kedua-dua mangsa yang mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai mengalami kurang zat badan, kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

“Siasatan terhadap lelaki, wanita dan remaja berkenaan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 masih dilakukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Polis menahan tiga beranak itu dalam siasatan kes dera berkenaan yang melibatkan kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun.

-BERNAMA


Pengarang :