SELANGOR

Isu papan tanda jalan Tanjung Sepat dibincang Rabu ini

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 JUN: Isu berkaitan papan tanda jalan di Tanjung Sepat, Kuala Langat yang ditulis dalam bahasa Cina dan didakwa tidak mengikut titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Rabu ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu telah dibangkitkannya minggu lalu dalam mesyuarat MMKN sebelum bertolak ke luar negara dan sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengumpul maklumat serta dokumen berkaitan selepas isu ini timbul.

“Semua sangat jelas bahawa polisi pada 2016 dan 2017 berkaitan perkara itu (papan tanda jalan dalam bahasa Cina) adalah untuk kawasan majoriti kaum Tionghua.

“Namun, apabila Sultan Selangor menitahkan semua papan tanda jalan di Shah Alam hanya menggunakan bahasa Melayu pada tahun lalu, maka perkara itu dilaksanakan di Shah Alam.

“Tetapi bagi kes di Tanjung Sepat ia adalah keputusan MMKN pada 2016 dan 2017. Jadi kita akan bincangkan perkara itu menerusi mesyuarat MMKN terlebih dahulu secara menyeluruh dan maklumkan keputusannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Watikah Pelantikan kepada 292 Ketua Kampung Tradisi di Banquet Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Katanya, beliau menjunjung titah Tuanku dan pada masa sama akan mengekalkan keharmonian kaum di negeri ini.

“Jika tiada halangan kita akan bincang Rabu ini dan lihat bagaimana keputusan yang akan dicapai nanti,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan banyak papan tanda ditulis dalam bahasa Cina di Tanjung Sepat hingga menerima kecaman daripada pelbagai pihak.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid dalam kenyataan menafikan pihaknya ingkar titah Sultan Selangor dalam isu berkaitan dan menjelaskan apa dilakukan pihaknya sentiasa mengikut ketetapan Kerajaan Negeri.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :