SELANGOR

Isu papan tanda Mandarin di Tanjung Sepat diumum minggu depan

KUALA SELANGOR, 29 JUN: Keputusan sama ada papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin yang dipasang di Tanjung Sepat, Kuala Langat akan diturunkan atau tidak akan diumumkan minggu hadapan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya isu berhubung papan tanda berkenaan yang menjadi hangat sejak minggu lalu sudah dibincangkan dan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), pada Rabu lalu.

“Saya akan unum nanti, kita sudah buat keputusan dalam MMKN, tetapi kita harus menetapkan dan memutuskan minit tersebut terlebih dahulu.

“Saya juga sudah mengadakan pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara ini, dan keputusannya akan diumum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bridge of Dreams di Eco Grandeur, di sini.

Turut hadir Pengerusi EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin dan EXCO Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Papan tanda itu menjadi isu apabila ia memaparkan tulisan bahasa Mandarin dan Sultan Sharafuddin pada November tahun lalu menitahkan supaya ia diturunkan.

-BERNAMA


Pengarang :