SELANGOR

Isu pindah kuil, Kerajaan Negeri sedia jadi orang tengah

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 10 JUN: Kerajaan Negeri bersedia menjadi orang tengah berhubung isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan menjadi koordinator untuk membantu isu pemindahan itu, sekali gus akan memastikan situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak.

Bagaimanapun, katanya, semua pihak perlu menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah bagi menjamin ketenteraman awam serta keluhuran undang-undang.

“Kita perlu tunggu dan berbincang. Seperti saya katakan sebelum ini, apa sahaja keputusan mahkamah, kita tetap perlu uruskan hal berkaitan ketenteraman manusia dan juga kuil itu.

“Malah, Kerajaan Negeri bersedia jadi koordinator untuk pastikan situasi ‘menang-menang’ bagi semua pihak, sekali gus kuil boleh beroperasi dan syarikat berkenaan juga boleh membangun.

“Selangor adalah negeri properniagaan, sudah tentu kita mahu memastikan semua pihak mempunyai ruang perniagaan mereka sendiri dan bebas menjalankan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan pembukaan Bengkel Pintar Radom pertama di Malaysia di Sepang Aircraft Engineering, di sini, hari ini.

Pada 14 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menghalang One City Development Sdn Bhd, pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Plaintif juga memohon antara lain, perintah menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 Nov 2017, yang diperoleh One City Development.

Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa plaintif tidak mempunyai justifikasi wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai ‘locus standi’ di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 bagi memulakan tindakan saman.


Pengarang :