BANGKOK, June 19 — Thailand is fully prepared to welcome the heads of state and guests as the host of the 34th Asean Summit and Related Summits in Bangkok with thorough preparation today. ASEAN Summit will be held at Athenee Hotel starting from 20th till 23rd June. –fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED
BERITA UTAMAGLOBAL

Isu serantau antara fokus sidang kemuncak ASEAN ke-34

BANGKOK, 19 JUN: Isu serantau dan antarabangsa yang memberi kesan kepada negara-negara anggota ASEAN akan dibincangkan pemimpin-pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Bangkok, dalam usaha mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik serantau.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bersama pemimpin anggota negara ASEAN lain akan berhimpun mulai esok hingga 23 Jun ini membincangkan isu-isu perang dagang China-Amerika Syarikat, isu Laut China Selatan, pelarian Rohingya, Semenanjung Korea, terrorisme dan extremisme.

“Para pemimpin anggota ASEAN dijangka bertukar pendapat dan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa semasa untuk membawa kestabilan ekonomi, politik dan keselamatan di rantau ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Rozian berkata empat dokumen akan diperakukan semasa sidang kemuncak kali ini iaitu ASEAN Leaders’ Vision Statement on “Partnership for Sustainability”; An ASEAN Indo-Pacific Outlook; Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in the Region; dan ASEAN Leaders’ Statement on the ASEAN Cultural Year 2019.

Beliau berkata para pemimpin negara anggota ASEAN dijangka akan membincangkan pelbagai isu termasuk pewujudan Komuniti Asean menjelang 2025.

Bertemakan “Advancing Partnership for Sustainability”, beliau berkata para pemimpin akan membincangkan isu-isu berkaitan untuk membawa Asean lebih maju di bawah kepengerusian pertama Thailand.

“Malaysia menyokong tema yang diperkenalkan Thailand. Kita akan lihat apa (aspek) yang boleh kita bekerjasama untuk kestabilan di rantau ini. Para pemimpin anggota negara ASEAN akan memberi sokongan kepada inisiatif Thailand.

“Pada masa yang sama, negara-negara ASEAN bersama 10 anggota negara dialog dijangka melaksanakan program untuk memanfaatkan rantau ini khusunya untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi dan dalam usaha mewujudkan Asean Community,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata Dr Mahathir yang akan tiba di Bangkok pada esok akan menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak Asean Ke-34 dan juga Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak Asean Ke-34 pada Sabtu dan Ahad ini.

“Sidang kemuncak kali ini memberi peluang kepada para pemimpin ASEAN untuk menilai semula dan mengkaji isu-isu semasa dan agenda Komuniti Asean berikutan penubuhan Komuniti Asean dan perakuan dokumen Asean 2025,” katanya.

Selain itu, Jojie berkata perdana menteri juga akan mengambil bahagian dalam pertemuan pemimpin-pemimpin ASEAN dengan perwakilan Persidangan Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA); pertemuan dengan perwakilan Belia Asean dan pertemuan dengan Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-Bac).

Selain itu, beliau berkata Dr Mahathir juga dijadual mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia, Thailand (IMT-GT) yang akan berlangsung pada Ahad.

Beliau berkata Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dijadualkan menghadiri Makan Malam Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha untuk Pemimpin-Pemimpin Asean pada Sabtu malam.

Di akhir Sidang Kemuncak, Thailand sebagai Pengerusi ASEAN akan mengeluarkan Kenyataan Pengerusi untuk mencerminkan perbincangan para pemimpin.

Dalam lawatan ini, Dr Mahathir akan merasmikan program Malaysia Fest 2019 di Central World Shopping Mall, di samping mengadakan mesyuarat perniagaan meja bulat dengan tokoh-tokoh industri Thailand pada Jumaat.

Sementara itu, Jojie berkata Dr Siti Hasmah dijadual menyertai program untuk pasangan yang dihoskan isteri perdana menteri Thailand, Professor Madya Naraporn Chan-o-cha iaitu lawatan ke National Museum of Royal Barges dan juga demonstrasi kraftangan Thailand serta ‘Traditional Thai appetizers and desserts’ oleh Royal Traditional Thai Crafts School for Women.

Selain itu, Dr Siti Hasmah juga akan menghadiri majlis makan tengah hari dihoskan Naraporn.

– BERNAMA

 


Pengarang :