Selangorkini
NASIONAL

Isu video lucah: Beri ruang polis siasat

KANGAR, 15 JUN: Siasatan kes penularan video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri dilakukan secara profesional dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) polis, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata setakat ini polis belum mendapat sebarang petunjuk mengenai kesahihan video itu dan meminta pihaknya diberi ruang dan masa untuk menjalankan siasatan.

“Bagi kes ini, saya tidak mengambil pendirian luar biasa. Setiap laporan berhubung kelakuan jenayah mesti dinilai terlebih dahulu dan kertas siasatan hanya dibuka selepas kami yakin ada unsur-unsur jenayah.

“Saya juga tidak beri tekanan kepada pegawai-pegawai penyiasat kerana kami mengambil pendekatan satu demi satu dan tindakan pula pelbagai bentuk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Hamid ditemui selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis yang baharu yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shareen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid berkata proses untuk memastikan ketulenan video itu akan mengambil masa dan pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan apabila selesai.

Semalam, polis menahan Ketua Angkatan Muda KeEADILAN Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi membantu siasatan kes itu.

-fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Abdul Hamid berkata lelaki itu ditahan untuk polis mengambil keterangannya selaku saksi utama kes berkenaan.

“Dalam siasatan ini kami nak tahu sama ada dia dipaksa atau membuat pendedahan secara sukarela…siapa lagi yang akan dipanggil untuk beri keterangan (selepas ini) bergantung kepada perkembangan siasatan,” katanya.

Terdahulu Tuanku Syed Sirajuddin ketika bertitah pada majlis itu menyeru polis berusaha gigih mengembalikan intergriti pasukan itu sebagai institusi yang dipandang tinggi memandangkan sejak kebelakangan ini banyak kes salah laku polis didedah di media sosial dan dipermainkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mahu semua anggota polis mengambil iktibar dan tanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan PDRM dengan meningkatkan jati diri dan nilai positif,” titah baginda.

-BERNAMA


Pengarang :

Related posts

Kerajaan Pusat digesa tidak tergesa-gesa tandatangani TPPA

TNB nafi terima arahan kerajaan naikkan tarif 30 peratus

Aishah Amin

Menteri bila nak semak harga barang?