BERITA UTAMANASIONAL

Isu Zakir Naik: TPM sokong pendirian PM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 16 JUN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung keperluan menghantar pulang pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik ke negara asal.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, buat masa ini kerajaan tidak menerima sebarang permohonan dari India untuk mengekstradisi ulama berkenaan.

“Beliau (Perdana Menteri) mengatakan tidak perlu untuk Dr Zakir Naik dihantar kembali ke negara asal.

“Sekarang ini kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa permohonan daripada India untuk ekstradisi beliau (Zakir Naik). Perdana Menteri dah menjawab dan itu menjadi jawapan kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pandan, di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, di sini hari ini.

Isnin lalu, Dr Mahathir dalam satu program di Melaka dilaporkan berkata, Malaysia mempunyai hak untuk tidak mengekstradisi Zakir jika beliau tidak diberi keadilan sewajarnya.

Katanya, Malaysia juga mempunyai hak untuk menentukan sama ada pendakwah warga India itu akan mendapat perbicaraan adil di sana jika dihantar pulang.

Beliau turut mengulas laporan berhubung usaha Direktorat Penguatkuasaan India (ED) untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Zakir dan individu lain dalam perbicaraan yang sedang didengar di mahkamah Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2002.

Menurut laporan itu, mahkamah Mumbai akan memutuskan sama ada waran tangkap tanpa jaminan perlu dikeluarkan terhadap Zakir untuk pendengaran akan datang, yang dijadual pada 19 Jun ini.

Terdahulu, majlis yang dibanjiri lebih 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim serta EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

 


Pengarang :