SELANGOR

Jadikan minat pertanian satu kerjaya

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 3 JUN: Golongan belia yang meminati bidang pertanian tidak seharusnya mensia-siakan minat dan kebolehan mereka, sebaliknya bertindak ‘mengubah’ sikap itu kepada satu kerjaya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Agropreneur Selangor (Agrosel), Syed Husain Fahmi Syed Ahmad berkata, ia juga boleh dilakukan secara sambilan sekali gus menambah sumber pendapatan.

“Kebanyakan belia tidak berminat dalam industri pertanian kerana mereka menganggap ia masih lagi di peringkat pembuatan secara tradisional dan mengambil jangka masa lama bagi mendapatkan hasil.

“Oleh itu, Agrosel memainkan peranan dalam usaha mendedahkan kepada mereka dengan pertanian moden, pemasaran dan perkongsian strategik khususnya di luar negara.

“Mereka adalah kumpulan penting dalam menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara khususnya pada belia yang berpelajaran dan mahir menggunakan gadget.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrosel dan Korasia Group di Bilik Mesyuarat Melur Tingkat 15, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Husain berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrosel dan KorAsia Group mampu merapatkan jurang pelabur luar dan usahawan pertanian untuk menembusi pasaran baharu.

“Terdapat beberapa lokasi yang dikenal pasti untuk pertanian baharu antaranya lokasi projek kerajaan yang terbengkalai dan bakal digunakan setelah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.


Pengarang :