SELANGOR

JAIS urus kenaikan pangkat guru bermula tahun ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menguruskan kenaikan pangkat guru di bawah kendaliannya secara berperingkat, bermula tahun ini.

Timbalan Pengarah Operasinya, Salwana Ahmad Dahlan berkata, kenaikan itu berasaskan kecemerlangan pegawai perkhidmatan pendidikan bagi Gred DG29 kepada DG32, DG32 kepada DG34 dan DG44 ke DG48.

Katanya, JAIS berharap kenaikan ini mendorong guru untuk terus memberi komitmen dan kualiti pendidikan terbaik kepada pelajar.

“Kualiti diri guru antara faktor kecemerlangan murid, justeru JAIS mengharapkan guru sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran interpersonal dan sebagainya.

“Kecemerlangan guru dapat diterjemah melalui pencapaian membanggakan oleh pelajar dengan pencapaian keputusan peperiksaan cemerlang dan aktiviti kokurikulum di pelbagai peringkat sama ada negeri atau kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA JAIS di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta hampir 700 guru KAFA dari seluruh Selangor.

Mengulas lanjut, Salwana berkata, dalam mempertingkatkan kualiti diri guru, JAIS mengharapkan Institut Murabbi Antarabangsa Negeri Selangor (IMANS) dapat mempertingkatkan peranan bagi melahirkan guru yang mempunyai ciri 5M.

“Ciri 5M adalah guru sebagai mualim, mudaris, muadib, murabbi dan murshid yang berperanan sebagai obor hemah menyinari pertiwi.

“Ini bagi memastikan peranan guru bukan sekadar pemindah ilmu semata-mata, malah sepatutnya sebagai pencorak peribadi pelajar supaya menjadi insan soleh yang mampu berperanan sebagai khalifah Allah di muka bumi,” katanya.


Pengarang :