Selangorkini
NASIONAL

Jakel nafi terlibat dalam pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Syarikat tekstil, Jakel Trading & Jakel Trading Sdn Bhd hari ini berkata pihaknya tidak pernah terlibat dalam mana-mana skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa juga kegiatan seperti itu pada masa akan datang.

Katanya syarikat komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan sedar tiada ada apa-apa kebaikan daripada perniagaan yang tidak sah atau tidak beretika dan memandang serius tuduhan mengaitkannya dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Kami menjalankan aktiviti jual beli dengan tiada prasangka dan semua pelanggan kami dilayan secara profesional dan baik. Segala transaksi jual beli terbabit adalah dengan berdasarkan invois dan semua pembayaran diterima dengan tiada syak wasangka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat itu mengulas kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung wang yang didakwa dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pesuruhajya SPRM Latheefa Koya dilaporkan sebagai berkata suruhanjaya itu telah memfailkan permohonan pelucutan hak sivil terhadap 41 individu dan entiti mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, untuk mendapatkan semula RM270 juta wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian ke individu dan entiti berkenaan, termasuk Jakel.

Menurut syarikat itu, transaksi terbabit adalah berdasarkan pesanan yang syarikat terima daripada bekas perdana menteri dan juga daripada pejabat bekas perdana menteri untuk Jakel membekalkan kain jubah bagi semua program amal dianjurkan oleh bekas perdana menteri dan pejabat bekas perdana menteri.

Mengulas lanjut, Jakel berkata semua urus niaga yang berkaitan dilakukan dengan urus niaga yang tulen dan disokong oleh bukti dokumen yang sahih.

“Sebarang isu berkaitan wang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan SPRM adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan kami,” katanya dan menurutnya syarikat akan memberi kerjasama kepada SPRM dalam siasatan itu.

Sementara itu, anak syarikat Naza Group, Naza Quest Sdn Bhd yang turut disenaraikan dalam pelucutan hak sivil itu oleh SPRM, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memberikan bantuan yang perlu berhubung perkara itu.

Naza Quest ialah pengedar tunggal untuk kereta Chevrolet di bawah perjanjian dengan General Motors (GM) sehingga 14 November, 2018, apabila ia menghentikan operasi pengedaran kereta Chevrolet.

Permohonan pelucutan hak sivil SPRM yang difailkan terhadap Naza Quest adalah berkaitan dua transaksi iaitu pembelian dua buah kereta Chevrolet bernilai RM105,000 (pada 17 Disember 2012) dan untuk pembelian dua lagi kereta Chevrolet bagi RM164,662 (9 Disember, 2013). – BERNAMA


Pengarang :