SELANGOR

Jamu durian percuma beri peluang golongan kurang mampu

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 22 JUN: Sejumlah 400 kilogram durian dihidangkan khas buat tetamu Majlis Silaturrahim Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah, hari ini.

Katanya, jamuan durian secara besar-besaran itu memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menikmati raja buah yang dijual agak mahal di pasaran.

“Saya mahu semua penduduk dalam kawasan Tanjung Sepat ini berpeluang menikmati durian secara percuma, kalau boleh tidak kira yang mampu atau kurang mampu semuanya berpeluang merasainya.

“Menariknya kali ini kita bawa durian yang berkualiti tinggi seperti durian kahwin, ia sudah tentu lagi mahal berbanding durian kampung,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Silaturrahim Aidilfitri diadakan di Homestay Batu Laut di sini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi; EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail; EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian serta ADN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Borhan berkata, majlis itu turut menampilkan kelainan apabila ia dianjurkan di tepi laut secara santai.

“Ramai tetamu yang hadir begitu seronok melihat pemandangan laut sambil menikmati juadah dihidangkan.

“Saya berharap supaya semua tetamu yang hadir gembira dan menjadikan program ini sebagai pengikat tali silaturrahim,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :