SELANGOR

Jangan percaya budaya politik fitnah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 JUN: Rakyat diminta untuk tidak mudah mempercayai penyebaran video lucah, rakaman audio atau gambar yang membabitkan mana-mana pemimpin politik.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, hal itu kerana budaya politik fitnah masih tidak berganjak dalam arus politik tanah air ketika ini.

“Politik fitnah dan tidak bermoral hanyalah ulang tayang kepada politik keji seperti 1998.

“Justeru, setiap pihak perlu berhati-hati dalam mempercayai sesuatu khabar angin yang tidak sahih kebenarannya dan tidak mudah membuat kesimpulan awal,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Rodziah berkata, konspirasi yang dicipta bertujuan untuk melaga-lagakan hubungan antara pemimpin dan pemimpin lain serta hubungan pemimpin dengan rakyat.

Pada masa sama, katanya, ia bertujuan menjatuhkan moral individu yang tidak sewajarnya dilakukan.

“Maka, segala bentuk penyebaran video yang ditularkan perlu dihentikan serta-merta bagi memastikan kemelut ini tidak berpanjangan,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN.

 


Pengarang :