NASIONALSELANGOR

Jangan politikkan isu lantikan Latheefa Koya

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 9 JUN: Semua pihak perlu menghormati dan tidak menjadi pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Beebi Koya sebagai isu politik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelantikan berkenaan dilakukan mengikut perlembagaan dan bidang kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perdana Menteri hanya mengikut perlembagaan. Segala pertikaian yang timbul kita fahami, namun kita belum boleh melakukannya, perlu tindakan awalan sebelum sesuatu perubahan dilaksanakan.

“Kalau mahu bawa kuasa pelantikan ke parlimen harus melalui proses penggubalan undang-undang dan perlembagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata, pandangan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh juga sangat jelas.

“Saya rasa pandangan jitu itu perlu dihormati dan bukan menjadi isu politik lebih lagi di suasana Hari Raya ketika ini,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull melepaskan jawatannya dan Latheefa akan menggantikan beliau.

Latheefa melepaskan keanggotaannya dalam KEADILAN selepas mendapat makluman mengenai pelantikannya.

Latheefa wanita pertama dilantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa 1 Jun lalu, memulakan tugasnya dengan mesej keras, iaitu akan membanteras rasuah sehingga masyarakat alah kepada ‘najis’ itu.


Pengarang :