NASIONAL

Jangan terjebak politik jijik – Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Kerajaan hari ini perlu berpegang pada politik nilai dan prinsip jelas serta tidak terjebak dengan politik kejam dan jijik, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian selaras teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mahu memfokuskan kepada penyelesaian semua pimpinan berkaitan masalah ekonomi, kos sara hidup selain menggalakkan pelaburan negara.

Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mengugat kestabilan pada hari ini.

“Saya dalam kapasiti yang kecil dan terhad ini mendokong penuh terhadap gagasan dan dasar Perdana Menteri untuk memastikan pelaburan dalam negara terus dipertingkatkan.

“Sebab itu kita sedang berusaha gigih supaya semua dasar dan program yang kita akan jalankan ini adalah menjadi satu keyakinan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau menyeru kepada seluruh pimpinan untuk mengambil serius teguran Perdana Menteri sekali gus menolak politik berbaur jijik.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam kenyataan berkata, beliau menegaskan semua pihak untuk tidak terlibat dalam politik kotor.

“Apabila kalah dengan lawan, awak nak tunjuk video lucah. Cara ini sangat kotor, kena amalkan politik bersih,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.


Pengarang :