Jangkitan kuman terhadap orang asli sejak awal Mei | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Jangkitan kuman terhadap orang asli sejak awal Mei

 

GUA MUSANG, 9 Jun : Masalah jangkitan kuman yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh di sini telah dimaklumkan kepada banyak pihak sejak awal bulan lepas namun tiada tindakan diambil sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.

“Mungkin jika perkara itu diambil tindakan awal keadaan akan menjadi lebih terkawal dan tidak seramai itu yang menjadi mangsa kerana kampung ini jauh dari bandar,” kata guru agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fazdzli Mahmok.


Beliau berkata penduduk Orang Asli yang dijangkiti kuman itu mula dibawa keluar seminggu lalu selepas keadaan semakin kritikal, tetapi ramai yang diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Sementara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan musibah yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Kelantan Darul Naim (Suara Kelantan) Che Isham Sharudin Che Hamat berkata isu itu membabitkan nyawa dan keselamatan masyarakat Orang Asli berkenaan dan langkah segera perlu diambil bagi menanganinya untuk mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Kita semua bersimpati dengan musibah yang menimpa masyarakat Orang Asli di sana dan kita tidak mahu perkara yang dialami itu memberi ruang kepada mana-mana pihak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Che Isham berkata dalam situasi ini tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat menerusi jabatan yang berkeaan. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next