NASIONAL

JAS Johor keluar perintah tahan operasi tiga kilang di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU, 27 Jun : Tiga perintah tahan operasi dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta merta kepada tiga kilang kimia di Pasir Gudang hari ini kerana didapati berpotensi menyebabkan pencemaran udara.

Mengesahkan perkara itu, Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata ketiga kilang itu didapati turut melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tiga kilang ini melibatkan pengendalian kimia dan bahan toksik dan perintah tahan operasi dikeluarkan serta merta hari ini.

“ Perintah dikeluarkan kerana kilang ini berpotensi menyebabkan pencemaran udara dan perintah tahan operasi adalah sehingga mereka mengikut undang-undang,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar dalam satu sidang media berkata JAS telah mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan terhadap 38 kilang kimia bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Selain, tiga perintah tahan operasi, sebanyak 27 kompaun bagi kesalahan buangan terjadual dan 10 kompaun bagi efluen perindustrian telah dikeluarkan, kata beliau.

“Kita adakan operasi ini selama dua minggu semenjak hari pertama insiden pencemaran (20 Jun) berlaku.

Operasi ini juga dilakukan secara komprehensif kerana kita dalam proses untuk menyingkirkan mana-mana kilang yang berpotensi menyebabkan pencemaran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata hanya terdapat tiga mangsa wanita dan satu lelaki berusia 13 hingga 17 tahun yang menerima rawatan dan kesemua mereka dalam keadaan stabil.

“Selain itu, JAS juga telah lakukan pemantauan kualiti udara secara berkala bagi mengesan kehadiran pencemaran gas di kawasan Pasir Gudang dan bacaan tahap kualiti udara adalah baik.

Polis juga masih meneruskan sekatan jalan raya 24 jam di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai akses utama keluar dan masuk ke kawasan Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut melakukan pemantauan tahap kualiti udara dalam radius pengesanan telah dibuat sehingga 13 kilometer.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam memastikan insiden pencemaran ini dapat ditangani sebaik mungkin dengan memastikan penguatkuasaan melalui agensi-agensi berkaitan dipertingkatkan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :